Lidya mengeluh setelah dia menekan butang merah di telefon bimbit miliknya. Aduh, macam mana ni? Lidya menggigit bibirnya. Gelisah memikirkan masalah yang baru menimpa dirinya. Sudahlah masalah hari itu belum selesai, kini timbul masalah yang baru pula. Mahu menolak, dia tidak sanggup untuk berbuat demikian.
Safura yang baru keluar dari bilik air itu mengerutkan dahinya apabila dia melihat Lidya yang kelihatan resah di sofa. Perlahan-lahan dia menghampiri Lidya sebelum dia duduk disebelah Lidya yang sedang muram itu. Alat kawalan jauh di atas meja itu dicapai lalu dia menekan butang, mencari saluran rancangan yang disukai.
“ Ada apa pulak kali ni?” soal Safura tanpa melihat Lidya, matanya tertumpu ke arah skrin televisyen.
Lidya menghela nafas sambil melirik ke arah Safura yang sedang menonton televisyen itu.
“ Tak ada apa-apalah,” jawab Lidya.
Terjongket kening Safura tatkala dia mendengar jawapan Lidya. ‘Tak ada apa-apa? Muka monyok macam tu boleh cakap tak ada apa-apa pulak? Hisyy, musykil!’ Safura menjuihkan bibirnya.
“ Ya ke tak ada apa-apa?” soal Safura antara percaya atau tidak.
“ Hmm…” jawab Lidya, malas.
“ Ha! Tengok tu..”
“Apa?” soal Lidya tidak mengerti.
“ Kaulah, nak jawab pun macam nak tak nak je. Biasanya kalau kau dah macam ni, mesti ada masalah. Eh, cerita ajelah dekat aku ni. Bukan tak biasa,” ujar Safura separuh geram dengan sikap Lidya yang ingin bertarik tali dengannya.
Lidya mengetap bibir.
“ Mak aku suruh aku balik kampung minggu ni. Katanya dah lama aku tak balik. Kebetulan pulak minggu ni aku ada kerja nak buat kat sekolah tu,” terang Lidya tanpa berselindung.
Bibir Safura membulat.
“ Oooo, so kau tengah bingunglah ni ek?”
Lidya menganggukkan kepalanya.
“ Aku tak boleh nak tolak permintaan mak aku tapi akupun tak boleh jugak kalau tak pergi sekolah nanti. Aku dah janji tau.”
“ Susah jugak ni. Tapi bagi akulah, kau patut balik kampung tu. Kan dah lama kau tak balik? Kesian orang tua kau kat kampung tu tau. Lagipun, kau tak bosan ke asyik pergi ke sekolah je? Eiii, cukup-cukuplah aku masa kat sekolah dulu. Ni kerja pun kalau nak pergi sekolah aje, huh, boleh gila tau tak?”
Lidya tersenyum seraya menggelengkan kepalanya.
“ Entahlah, aku memang minat nak jadi cikgu ni. Mungkin sebab pengaruh abah aku kot. Diapun cikgu jugak tapi dah lama pencen. Aku tak pernah pun rasa bosan kat sekolah tu, lagipun seronok tengok perangai budak- budak ni. Boleh buat kita ketawa,” ujar Lidya sambil tersenyum. Terbayang-bayang kerenah anak-anak muridnya di dalam kepala. Ada yang suka mengusik kawan, ada yang ramah bertanya dan tak kurang juga ada yang kuat mengadu.
Safura turut tersenyum melihat Lidya yang seakan gembira apabila bercerita tentang sekolah. Seolah-olah sekolah itulah syurga buat Lidya. ‘Hisy, obses betul dia ni dengan sekolah. Tabik aku’, getus hati kecilnya. Safura menepuk-nepuk paha Lidya.
“ Kalau macam tu, kau tak baliklah kampung minggu ni kan?”
Lidya tergamam. Hampir sahaja dia terlupa akan masalahnya itu. Dia mengeluh lagi. Kedua belah tangannya diangkat, menopang dagu.
“ Hmm, entahlah. Aku nak balik jugak kalau boleh. Lebih- lebih lagi opah aku nak pergi haji ni,” ujar Lidya.
Safura melopong apabila Lidya menyebut ‘opah’ .
“ Opah kau masih hidup?!”
Lidya mengerutkan dahinya sambil mengerling Safura yang masih melopong. Tahu apa yang difikirkan Safura, dia menampar lembut bahu kawan serumahnya itu. Tergelak besar Safura melihat Lidya yang sudah geram dengannya.
“ Bukanlah maksud aku yang ‘tu’. Aku cuma terkejut je. Kuat jugak opah kau kan? Sampai sekarang masih sihat walafiat. Memang aku kagumlah. Biasanya orang tua-tua ni kan uzur, tu yang aku terkejut tu dengar cerita opah kau.”
Lidya tersenyum.
“ Dia memang macam tu. Masa muda dulu dia banyak amalkan cara tradisional macam makan ulam-ulaman tu. Mungkin sebab tu kot dia masih kuat sampai sekarang.”
Safura sekadar menganggukkan kepalanya. Alangkah bagusnya jika opahnya juga masih hidup dan kuat seperti opah Lidya. Namun, apakan daya. Sudah tertulis yang opahnya akan kembali kepada pemiliknya, iaitu Allah. Hai, sayu pula hatinya mengenangkan arwah opah yang sudah lama pergi.
Lidya menyandarkan tubuhnya ke sofa. Masih berfikir hendak pulang ke kampung atau tidak. Sudahlah hari itu dia mengambil cuti, takkanlah minggu ini pun dia akan mengambil cuti. Nanti apa pula kata yang lain. Dia sendiri pun sudah terasa lain macam apabila mengambil cuti hari itu. Ini nak ambil cuti lagi?
‘Aduh, apa aku nak buat ni?’ Lidya bingung!
*****
Kelam kabut semua pelajar apabila mendengar bunyi loceng yang sudah berbunyi, menandakan pelajaran akan dimulakan sebentar lagi. Yang masih santai bercerita, menghentikan cerita masing-masing. Yang masih makan pula, memasukkan makanan ke dalam poket. Masing- masing menuju ke arah kelas masing- masing, takut terlambat masuk ke dalam kelas. Takut dimarahi mungkin.
Lidya tersenyum melihat gelagat pelajar- pelajar itu. Rasa kasihan pun ada juga melihat mereka yang tidak sempat menghabiskan makanan mereka. Perasaan hormat masih ada lagi di jiwa mereka, mungkin sebab itulah mereka terkocoh-kocoh ingin masuk ke dalam kelas. Kalau di sekolah lain, pasti ada lagi yang berlengggang- lenggang berjalan walaupun bunyi loceng sudah kedengaran. Seolah-olah mereka tidak gentar dengan guru mereka, tidak kurang juga ada di antara mereka menganggap guru mereka itu seperti kawan mereka di mana mereka boleh berbuat sesuka hati mereka.
“ Hah, Lidya. Jadi tak minggu ni? Kalau jadi, akak nak siapkan laporan tu,” sapa Saliha yang baru sahaja balik dari kantin, serentak mematikan lamunan Lidya.
“ Ha? Err…” Lidya kalut.
“ Kenapa Lidya?” soal Saliha pelik yang melihat Lidya tiba-tiba kalut semacam.
Lidya menarik nafas dalam-dalam sebelum dia melepaskannya perlahan-lahan . Mencuba untuk mengumpul keberanian. Harap- haraplah Kak Saliha tak marah dan tak kecik hati, Lidya berdoa di dalam hati.
“ Akak, saya terpaksa balik kampung minggu ni kak. Ada hal. Saya pun baru tahu semalam, mak saya call,” ujar Lidya, sedikit risau sekiranya Saliha akan marah. Yalah, dia sudah bersetuju hari itu yang dia akan turut sama membantu untuk menjayakan program yang akan dijalankan minggu ini. Tup tup..
“ Oh ya ke..”
Lidya menelan liur. Dia tidak tahu apa perasaan Saliha ketika itu. Sukar untuk dia menilik dengan respon yang diberikan oleh Saliha. ‘Oh ya ke?’ Kak Liha ni marah ke atau redha? Soal Lidya di dalam hatinya. Tak apalah, aku pasrah ajelah kalau tak dapat, getus hatinya lagi.
Saliha tersenyum melihat Lidya yang resah. Dia menarik tangan Lidya.
“ Kalau macam tu, Lidya pergilah. Keluarga lagi penting.”
Lidya tergamam sebentar. Dia memandang wajah Saliha yang masih lagi tersenyum. Masih tidak percaya dengan apa yang baru keluar dari bibir Saliha. Biar betul kak Liha ni, ke dia main-main dengan aku? Lidya masih terkulat- kulat dengan jawapan Saliha. Namun, melihatkan Saliha yang menganggukkan kepalanya, dia yakin Saliha tidak bergurau.
“ Serius ke ni kak? Tapi, program tu?”
“ Lidya janganlah risau. Kan kat sekolah kita ni banyak guru- guru. Nanti akak carilah siapa-siapa yang sudi tolong akak,” ujar Saliha.
Lidya sudah tidak terkata apa lagi. Hatinya benar- benar girang apabila dia dibenarkan untuk balik ke kampung. Oh, kak. I love you lah! Akak memang the best! Lidya tersenyum lebar sambil dia memeluk Saliha.
“ Thanks kak. Nanti kalau saya balik awal, saya mesti datang ke program tu. Akak jangan risau,” ujar Lidya sambil melepaskan pelukan.
Saliha menepuk-nepuk bahu Lidya.
“ Alaa… tak perlu risau pasal ni. Bila Lidya bertolak?” soal Saliha.
“ Erm, insyaAllah petang ni kot. Sebab nanti nak tolong- tolong lagi kan, ada kenduri kat sana.”
“ Ooo, macam tu. Okay, okay. Akak doakan Lidya baik-baik aje dalam perjalanan tu nanti. Kalau rasa mengantuk ke , penat ke, rehat kejap. Tak baik memandu dalam keadaan macam tu. Ya?”
Lidya menganggukkan kepalanya seraya dia tersenyum. Lega kerana masalah yang satu ni dah selesai. Sekarang ni dia bolehlah pulang kampung dengan perasaan yang tenang, walaupun mungkin nanti dia akan diberikan bebelan tentang pasangan hidup. Erk, pasangan hidup? Aduh! Harap-haraplah mak tak ungkit bab ni, bosan! Lidya mengetap bibir.
“ Kalau macam tu, akak gerak dululah ya? Akak ada kerja lagi lepas ni. Lidya tak ada kelas ke?”
“ Sekarang ni tak ada.”
“ Ooo, okaylah kalau macam tu. Akak pergi dululah ya?” ujar Saliha sebelum dia menghayun langkah. Sempat juga dia melemparkan sebuah senyuman untuk gadis itu. Memang murah senyuman kak Liha ni, bisik hati Lidya.
Lidya membalas senyuman sebelum dia menghampiri mejanya. Kerusi ditarik sebelum dia duduk di atas kerusi itu. Melihatkan mejanya yang agak berselerak dengan fail, kertas dan buku-buku latihan anak muridnya, dia mengeluh. Pantas sahaja dia mengemas mejanya itu. Kertas-kertas yang agak bertimbun dimasukkan ke dalam fail berwarna biru agak tidak hilang. Manakala fail-fal pula di masukkan ke dalam rak. Hah, barulah kemas sikit. Err.. walaupun belum kemas sepenuhnya.
“ Kenapa tadi tu?” soal Nurul ketika dia melewati meja Lidya.
Lidya mendongak, melihat Nurul yang baru melabuhkan punggung ke kerusi.
“ Maksud kau?” soal Lidya. Datang tiba- tiba, lepas tu hadiahkan aku soalan ni. Manalah aku faham, Lidya mengutuk di dalam hatinya.
“ Kau dengan Kak Liha tadilah,” ujar Nurul.
“ Tak adalah, aku bagitahu kat kak Saliha yang aku balik kampung minggu ni,” ujar Lidya.
“ Habis tu kau tak jadilah ikut program tu kan?”
Lidya sekadar menganggukkan kepalanya.
“ Dah tu siapa yang ganti kau?” soal Nurul pelik.
Lidya terdiam. Ya tak ya, siapa ek? Lidya dan Nurul saling berpandangan.
“ Erm, akupun tak tahulah. Kak Liha cakap, nanti dia cari orang yang sudi tolong,” ujar Lidya seraya menayangkan wajah polos.
“ Macam sedih pulak aku dengar,” ujar Nurul sebelum dia berpusing, menghadap mejanya sendiri.
Lidya mengetap bibir. Macam serba salah pula dia sekarang. Rasa kasihan terhadap Saliha. Kerana dia, Saliha kini terpaksa mencari orang lain untuk menggantikan dirinya. Tapi nak buat macam mana, dia sendiripun tidak mempunyai pilihan yang lain. Oh, harap-haraplah Kak Liha mampu mencari pengganti dirinya.
“ Hah, kau dah tahu ke ada cikgu baru nak pindah ke sini?” Nurul menoleh ke belakang.
Lidya tersentak apabila tiba-tiba disergah Nurul ketika dia melamun. Hisy, minah ni! Suka buat orang terkejut, getus hatinya. Dia memandang Nurul dengan geram. Perlahan-lahan dia menggeleng.
“ Laa… tak tahu ke? Dengar- dengar nanti ada cikgu baru nak pindah ke sini. Lelaki, handsome!” Nurul menunjukkan ibu jari, tanda bagus.
Lidya menjuihkan bibir. Nak dekat dua kali dia cakap benda yang sama. Handsome sangat ke? Handsome lagi abahnya mungkin! Lidya tersenyum kambing.
“ Habis tu kenapa? Perkara biasalah kalau ada cikgu nak pindah. Kau pun mungkin akan pindah kan?”
Nurul tergelak kecil sambil menggelengkan kepalanya.
“ Aku? Isy, tak mungkinlah.”
Lidya tersenyum menggeleng melihat kerenah Nurul itu. Malas melayan lebih, dia meneruskan kerjanya yang tertangguh itu. Lagi berfaedah jika dia mengemas meja daripada melayan Nurul yang suka bergosip tu. Cikgu baru? Hmm, biarlah dia.
*****
“ Hati-hati masa memandu,” ujar Safura. Risau juga dia kalau terjadi apa-apa pada Lidya nanti, tambahan pula Lidya memandu seorang, tidak ada yang menemani. Mahu ikut bersama, dia sendiripun ada hal juga.
Lidya menoleh ke belakang, melemparkan senyuman yang manis buat Safura.
“ Iyalah, dah banyak kali dah kau cakap benda yang sama,” ujar Lidya sambil mengangkat beg yang berisi pakaiannya ke dalam bonet keretanya.
“ Aku cakap banyak kali, biar kau beringat sikit. Taklah kau main redah je jalan nanti.”
“ Eh, aku macam tu ek?” soal Lidya berpura-pura polos. Jari telunjuknya diletakkan ke dagu, seolah- olah sedang memikirkan sesuatu.
Safura mengetap bibir.’ Sajelah tu, nak kenakan aku’ bisik hati kecil Safura. Spontan, dia membongkok, mencapai sandal di lantai dan berpura-pura ingin membaling ke arah Lidya. Matanya sengaja dijegilkan.
Lidya sekadar tergelak apabila dia berjaya mengusik Safura. Usai memasukkan barang-barang ke dalam bonet keretanya, dia menghampiri Safura yang masih tercegat di muka pintu. Tubuh tinggi lampai milik Safura pantas dibawa ke dalam pelukan.
“ Dahlah, kau janganlah risau pasal aku ni. Macamlah ini kali pertama aku bawak kereta. Yang patut dirisaukan sekarang ni, kau.”
Kening Safura pantas bercantum apabila dia mendengar kata-kata Lidya. Dia merenggangkan pelukan.
“ Apsal aku pulak? Macamlah aku ni budak kecik lagi,” ujar Safura kurang puas hati.
Lidya tersenyum lucu.
“ Aku tak cakap macam tu. Tapi sekarang ni kan dah makin bahaya, ada orang kat rumah pun boleh kena rompak lagi. Dah tu, sekarang ni kau dok sorang kat rumah. Memanglah kena risau. Kau tu kan perempuan,” terang Lidya sambil mengusap-usap bahu Safura.
“ Benda kecik je. Kau ingat aku nak ke tinggal sorang kat rumah ni? Nanti aku bawaklah member ke.. family ke… hisy, apalah kau ni.”
“ Ekk?” Lidya tersengih menayangkan giginya yang tersusun rapi sebelum dia menyambung kata-katanya.
“ Okaylah kalau macam tu. Lega sikit aku dengar. Maklumlah, ini kali pertama aku tinggalkan kau sorang kat rumah. Selalunya kan kau ikut aku balik, tak pun kau tidur rumah kawan.”
Safura tersenyum mengangguk.
“ Yalah, yalah. Dahlah, kau ni bila nak gerak? Nanti jalan busy pulak. Tak pasal-pasal kau dok termenung kat tengah jalan tu nanti.”
“ Okay. Kau jaga diri ya? Aku pergi dulu. Ada apa-apa nanti kau mesej je kat handphone aku,” ujar Lidya. Dia memeluk Safura buat kali kedua sebelum dia mengorak langkah, menghampiri keretanya yang sudah lama menanti untuk bergerak.
“ Okay, kau pun sama tau. Bye!” Safura melambaikan tangannya.
“ Bye, assalamualaikum,” Lidya membalas lambaian Safura dari dalam kereta. Perlahan-lahan dia melepaskan pedal dan keretanya pun mula meluncur ke tengah jalan, meninggalkan perkarangan rumahnya.
bila nak sambung
ReplyDeletebest..terbaeklah
ReplyDelete