Tuesday, June 19, 2012

selalu cinta bab 7


Syukur, kini dia sudah selamat sampai ke kampungnya. Lidya mematikan enjin setelah dia memakirkan keretanya di tempat yang tidak sibuk. Dilihat ramai saudara mara yang sudah datang membantu di rumah itu. Almaklumlah, itu merupakan rumah opahnya, jadi semua sanak saudara pasti akan datang ke rumah untuk berkumpul, seolah-olah itu merupakan rumah utama.
Lidya membuka pintu kereta seraya menghampiri bonet kereta untuk mengeluarkan beg pakaiannya. Setelah memastikan keretanya sudah berkunci, dia menghayun langkah menuju ke pintu utama.
“ Assalamualaikum,” sapa Lidya ramah.
“ Walaikumussalam. Eh, Lidya. Amboi, dah lama sangat dah tak ke mari,” ujar Pn. Dahlia sambil menghampiri anak buahnya itu. Dipeluk erat tubuh Lidya.
“ Sibuk mak long,” ujar Lidya.
“ Biasalah tu kalau dah kerja. Haa, masuk dalam. Kat sini sibuk sikit ni, susah nak berehat.”
Lidya tersenyum mengangguk sebelum dia mengangkat begnya ke dalam bilik. Ah, rumah itu walaupun berbulan lamanya tidak dikunjungi, tetap sahaja tidak ada perubahan. Senyuman terukir di bibir melihat keadaan itu, betapa dia rindu zaman kanak-kanaknya. Kini, semua saudara maranya sudah mempunyai kerja dan keluarga sendiri. Pastilah jarang berhubung. Hanya dengan kenduri-kenduri seperti ini sahajalah yang akan menemukan mereka semua, tidak kira tua atau muda.
Jam tangan dilirik sebentar. Baru dia teringat yang dia belum sempat menunaikan solat asar. Cepat-cepat dia membersihkan diri dan mengambil wudhu. Setelah itu, tikar sejadah dibentangkan sebelum dia menunaikan ibadah kepada Penciptanya.
Usai solat, Lidya keluar dari bilik. Takkanlah dia hendak bersenang lenang di dalam bilik, sedangkan yang lain sibuk menguruskan itu ini. Dia menggeliat sebentar, menghilangkan rasa penat ketika memandu tadi.
“ Laa… napa Lidya tak pi berehat? Kan penat memandu jauh tadi,” tegur Pn. Dahlia tatkala dia melihat wajah Lidya terpancul di muka pintu.
Lidya melemparkan senyuman sebelum dia duduk bersimpuh di sebelah mak longnya.
“ Tak apalah, mak long. Nanti pun boleh berehat jugak.”
“ Hmm, yalah, yalah. Degil benar, sama macam ayahnya jugak,” Pn. Dahlia menjuihkan bibir.
Lidya tergelak kecil melihat telatah Pn. Dahlia. Dia mencapai pisau dan sebiji bawang merah. Dengan cekapnya dia mengupas kulit bawang itu.
“ Siapa lagi yang balik ni mak long?” soal Lidya tanpa menoleh.
“ Banyaklah Lidya. Mak long pun tak dapat nak ingat.”
“ Alaa.. nanti Lidya tahulah tu,” sampuk Pn. Hafiza.
Lidya menganggukkan kepalanya. Mati kutu pulak dia apabila orang tua itu berkata sedemikian. Takkanlah dia nak suruh orang tua tu perah otak sampai boleh ingat siapa nak datang nanti? Tiba-tiba aje, tak pasal-pasal dia kena cop tak senonoh.
“ Kerja macam mana Lidya?” soal Pn. Hafiza apabila Lidya mendiamkan diri.
Lidya mendongak, memandang wajah Pn. Hafiza. Sudah bertahun-tahun dia mengenali Pn. Hafiza. Baik orangnya dan ringan tulang juga. Tanpa dia sedari, dia menjadi rapat dengan Pn. Hafiza yang juga merupakan teman baik kepada ibunya.
“ Erm, setakat ni okay jelah kot. Penat tu biasalah kan,” jawab Lidya sebelum dia tersengih menunjukkan giginya yang putih berseri.
Pn. Hafiza tersenyum melihat wajah Lidya. Kalaulah dia mempunyai anak lelaki, pasti sudah lama dia masuk meminang gadis itu. Berkenan sungguh dia dengan budi pekerti anak gadis itu. ‘ Pandai Ina didik anak-anak dia’ getus hati kecilnya.
“ Jangan paksa sangat diri tu. Kalau sakit nanti Lidya jugak yang susah.”
Lidya tersenyum mengangguk.
“ InsyaAllah mak cik, Lidya akan cuba jaga diri Lidya sebaik yang mungkin. Lagipun kalau Lidya sakit nanti, mesti mak akan rindu Lidya,” ujar Lidya berbaur usikan.
“ Yalah tu. Perasan betul anak mak ni,” sampuk Pn. Sarina yang baru sahaja muncul.
“ Mak ke mana tadi? Lidya sampai tadi tak nampak pun?”
“ Mak baru siap beli barang tadi, dengan Mak su Lidya,” jawab Pn. Sarina sebelum dia duduk di sebelah Lidya. Pisau di atas lantai pantas dicapai sebelum dia membantu memotong apa yang patut.
Bibir Lidya membulat namun tidak pula kedengaran suaranya. Melihatkan saudara-saudara yang hadir itu, dia dapat mengagak majlis itu pastinya akan meriah kerana banyak saudara yang tidak pernah ditemui sebelum ini akan hadir bersama. Lagipun, ini merupakan majlis khas yang dibuat untuk opahnya.
“ Balik sorang ke?” soal Pn. Sarina.
“ Mak ada nampak ke Lidya balik dengan sesiapa?” soal Lidya, loyar buruk.
Pn. Sarina mengetap bibir sebelum dia menghalakan pisau ke arah Lidya, saja ingin mengacah. Lidya hanya tergelak melihat aksi spontan ibunya. Kadang-kadang ibunya ni pun bersikap keanak-anakan juga bila bersama dengannya.

** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ***
KERETA yang dipandu dihentikan di tepi jalan. Keadaan agak sibuk ketika itu, mungkin disebabkan semua orang sedang sibuk untuk majlis yang akan berlangsung sebentar nanti. Ke sana ke sini orang berjalan membawa peralatan dan sebagainya. Ada yang sedang membetulkan atap, ada yang sedang membakar dan ada yang sedang membersihkan halaman rumah. Almaklumlah, ramai yang yang akan datang ke majlis nanti.
Rifqi mendekatkan wajahnya ke tingkap, membuang pandangan ke luar. Seingat dia, belum pernah lagi dia menjejakkan kakinya ke tempat ini. Inilah kali pertama dia datang ke sini, itupun setelah dipaksa oleh abangnya. Kalau tidak, jangan haraplah dia ingin datang ke kampung .
“ Hah, betullah tempat ni. Tengok, diorang dah sibuk dah,” ujar Datin Afrah memecahkan kesunyian.
Rizal mematikan enjin kereta sebelum dia menggeliat kecil. Memandu selama beberapa jam membuatkan tubuhnya terasa keletihan. Hendak harapkan Rifqi? Tidur sahajalah yang Rifqi tahu. Tidak sampai hati pula dia ingin bergilir- gilir memandu dengan Rifqi. Maklum dengan sikap Rifqi yang sudah dimanjakan sejak kecil.
“ Dah lama sangat tak datang ke sini,” ujar Dato’ Zikri pula sambil tersenyum lebar. Pintu kereta pantas dibuka sebelum dia memandang sekeliling. Harus diakui, kampung itu sudah maju berbanding dulu.
Rifqi menoleh ke arah Rizal di sebelah.
“ Pssttt, kat mana sebenarnya ni?” soal Rifqi bingung.
Rizal menoleh sebelum dia tergelak kecil.
“ Ini kampung mama,” jawab Rizal sebelum dia keluar dari perut keretanya itu. Kemudian dia menuju ke bonet, bagasi yang bersaiz sederhana itu pantas dikeluarkan. Setelah mengeluarkan dua bagasi dari kereta, dia menundukkan wajahnya, melihat Rifqi yang masih berpeluk tubuh di dalam kereta.
“ Dik, apa yang kau termenung lagi tu? Mari tolong abang angkat bagasi ni,” jerit Rizal memecahkan lamunan Rifqi.
Rifqi mencebikkan bibir. Tempat yang sangat asing buat dirinya. Entah mengapa Rizal beria-ia sangat mengajak dia untuk datang ke tempat ini. Tidak ada apa-apa yang seronok pun. Jauh sungguh bezanya dengan bandar yang mempunyai pelbagai tempat untuk berseronok. Dia mengeluh. Dengan rasa malas, dia membuka pintu kereta dan mendekati Rizal yang sudah tersengih- sengih.
“ Masam betul muka tu. Dah, angkat beg ni,” ujar Rizal sambil mengangkat bagasi.
“ Kenapa tak ajak driver je tadi? Boleh dia bawak semua barang ni nanti,” ujar Rifqi geram.
Rizal menggelengkan kepala. Dia menoleh ke belakang, melihat wajah cemberut adiknya, Rifqi.
“ Kau ni manja sangat. Semua kerja nak harap orang. Lagipun, kita sekarang ni nak melawat tempat asal mama, takkanlah nak bawak driver juga. Baik bagi diorang rehat je kan?”
Rifqi mendengus geram. Malas hendak bertelingkah dengan Rizal, dia mendiamkan diri dan membuntuti langkah Rizal. Hendak ke mana, dia sendiripun kurang tahu. Sedari sahaja mereka sudah berada di dalam rumah yang dipenuhi dengan ramai orang. Rifqi tergamam sebentar.
“ Oh, ni ke anak-anak kamu Afrah, Zikri?”
Rifqi terpinga-pinga melihat Datin Afrah dan Dato Zikri sedang duduk bersila bersama dengan seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 70 ‘an. Mesra sungguh lagaknya. ‘ Siapa pulaklah orang tua ni?’ Hati kecil Rifqi berkata-kata.
Rizal tersenyum lebar sebelum dia menghampiri wanita itu.
“ Opah, rindunya!” ujar Rizal sambil menyalami tangan wanita yang digelar opah itu.
“ Yang ni Rizal ke?” soal Opah ragu- ragu sambil menyambut huluran tangan daripada Rizal.
Rizal tersenyum lalu menganggukkan kepalanya. Tidak menyangka yang Opah masih mengingati dirinya walaupun sudah bertahun-tahun dia tidak menjenguk kampung itu. Rasa bersalah mula menyerang dirinya.
“ Maaf Opah, lama sangat tak datang jenguk Opah.”
Opah tersenyum.
“ Tak apalah, Opah faham. Yang penting Rizal dah datang sekarang ni, sebelum Opah pergi.”
Rizal tersenyum nipis sebelum dia menoleh melihat Rifqi yang sedang terkulat- kulat.
“ Dik, salamlah Opah ni.”
Rifqi terkedu. Dia memandang wajah opah dan Rizal silih berganti sebelum dia beralih memandang wajah kedua orang tuanya. Melihat Dato’ Zikri menganggukkan kepalanya, dia mendekati wanita yang digelar opah itu. Tangan Opah disalamnya dengan penuh sopan biarpun dia tidak mengenali wanita itu.
“ Dah besar dah semua cucu opah ni. Senang hati opah sekarang dah dapat jumpa kau orang ni,” ujar Opah syahdu.
Rifqi hanya mampu tersenyum kambing. Sejujurnya, dia tidak mengerti apa yang sedang berlaku namun dia hanya mendiamkan diri. ‘ Sabar Rifqi, banyak masa lagi untuk kau bertanya’, Rifqi memujuk hatinya sendiri.
*** *** *** *** *** ***
“ Rifqi tak fahamlah. Apa sebenarnya semua ni?” soal Rifqi sambil melabuhkan punggungnya ke atas kerusi panjang di luar rumah. Berkerut- kerut dahinya memandang wajah Rizal. Hatinya pula membuak-buak ingin tahu hal yang sebenarnya.
“ Apa?” soal Rizal polos.
“ Siapa tadi tu? Opah kita ke?” soal Rifqi tanpa berselindung.
Terjongket kedua belah kening milik Rizal.
“ Ooo… ha’ah. Itu opah kita, ibu kepada mama.”
Rifqi menggaru pipinya yang digigit nyamuk. Merah juga dibuatnya. Sambil- sambil itu matanya meliar-liar memerhati nyamuk-nyamuk yang sedang bebas berterbangan. Sungguh dia tidak biasa dengan keadaan seperti itu.
“ Kalau tadi tu opah kita, kiranya ni kampung mama lah kan?”
Rizal sekadar menganggukkan kepalanya. Tangannya mengurut-urut tengkuk yang terasa lenguh akibat memandu tanpa henti selama beberapa jam tadi. Matanya pula sudah kuyu menahan rasa mengantuk. Entah sudah berapa kali dia menguap ketika dia memandu tadi.
“ Tak tahu pula mama tinggal kat sini. Ingatkan mama orang KL jugak.”
Tersungging senyuman di tepi bibir Rizal mendengar kata-kata yang baru keluar dari bibir Rifqi.
“ Kau dah lupa kot dik. Masa kita kecik dulu, kita selalu datang sini. Tempat nilah kita selalu bermain dan menghabiskan masa,” terang Rizal sambil tersenyum melihat budak-budak yang sedang berlari berkejaran, teringat pula dia akan kisah kanak-kanaknya dulu. Lebih kurang begitulah nakalnya mereka semasa mereka masih kecil.
Rifqi mencemikkan wajah, seolah- olah tidak percaya dengan apa yang baru dikatakan oleh Rizal sebentar tadi. ‘ Biar betul abang ni? Aku pernah main kat sini?!’ Hati kecil Rifqi berbisik. Dia memerhatikan seluruh kawasan kampung itu. ‘ Nak main apa kat sini? Tak ada apa-apa pun yang best aku tengok.’
Tiba- tiba bola yang ditendang seorang kanak-kanak terkena kaki Rifqi. Mujurlah tendangannya tidak kuat, kalau tak mesti Rifqi dah naik meradang. Namun, tetap ada rasa kurang senang apabila bola yang dipenuhi debu itu terkena pada seluar Rifqi.
Rizal tersenyum melihat Rifqi. Dia menunduk, mengambil bola di hujung kaki Rifqi. Nak tunggu Rifqi untuk mengambil bola, memang seperti menunggu kucing bertanduk. Dia menggamitkan tangannya, memanggil seorang budak yang salah satunya bermain bola tadi.
“ Lain kali hati-hati dik,” ujar Rizal.
“ Err.. maaf bang. Kitaorang memang tak sengaja. Sumpah bang!” Ujar budak tadi sambil mengangkat tangan kanannya apabila melihat wajah Rifqi yang langsung tidak mempamerkan senyuman.
Rizal menyiku lengan Rifqi apabila tiada reaksi daripada Rifqi, dia mengerti perasaan takut budak tersebut. Melihat wajah Rifqi seperti harimau yang ingin membaham mangsanya, sesiapapun pasti akan kecut perut.
Rifqi mendengus sebelum dia menganggukkan kepalanya.
Serentak, sebuah senyuman muncul di wajah budak tadi. Dia berlari semula ke arah kawan-kawannya tadi.
“ Happy now?” soal Rifqi sambil dia melirik ke arah Rizal yang sedang menyeluk poket.
Rizal tergelak kecil sebelum dia menunjukkan ibu jarinya tanda bagus. Rifqi..Rifqi..
“ Dahlah, jom masuk dalam. Tak sopan pula kalau kita goyang kaki kat luar ni sedangkan yang lain semua sibuk uruskan benda-benda untuk kenduri nanti,” ujar Rizal sambil menepuk bahu adik bongsunya.
Rifqi ternganga kecil.
“ Nak tolong juga ke? Penat tak habis lagilah, bang.”
“ Penat apanya? Penat tidur?” soal Rizal berbaur sindiran.
Rifqi tersengih mendengar kata-kata Rizal yang sudah menggelengkan kepalanya itu. ‘ Betul jugak tu, aku bukannya memandu pun tadi. Kerja aku sepanjang perjalanan tadi cuma tidur aje! Tapi, aduh malasnya.’
Rizal melepaskan keluhan sebelum dia membontoti langkah abangnya yang sudah hilang dari pandangan mata dengan perasaan malas. Mahu tak mahu, terpaksa dia melangkah masuk dan dikerumuni dengan orang yang langsung tidak dikenalinya.

1 comment: