Tuesday, November 19, 2013

Cinta Cik Tom prolog/ bab 1



        Pelik. Itulah perasaan yang sedang dirasakan oleh anak gadis yang sudah menginjak usia remaja itu ketika melihat banyak kereta berada di perkarangan rumahnya itu. Dia membetulkan kedudukan beg sandangnya yang tergantung di bahu sebelum dia memasuki pagar besar yang sudah terbuka luas itu. Memang sudah menjadi kebiasaan jika ramai tetamu yang datang ke villa mewah itu, pagar besar akan dibuka bagi memudahkan tetamu untuk masuk.
“ Ada apa ni Pak Mad?” soal gadis itu kepada pengawal yang sudah lama berkhidmat untuk keluarganya.
“ Err...sebaiknya cik masuk dulu.”
Sukar untuk anak gadis itu menafsirkan riak wajah lelaki yang sudah separuh abad itu. Apa yang sedang berlaku ni? Papa dengan mama tak bagitahu pun ada majlis. Tanpa berlengah, dia pantas menuju ke pintu utama.
Semakin dia menghampiri pintu utama yang terbuka luas, semakin dia yakin dengan bunyi itu. Ya, bacaan ayat suci Yaasin! Dia menelan liur.
“ Okay, jangan panik. Yaasin tak semestinya untuk orang yang meninggal. Ya..” dia berkata sendiri sebelum dia menarik nafas dalam-dalam, cuba mengumpul kekuatan sebenarnya.
“ Assalamualaikum,” gadis itu memberi salam.
Serentak, hampir semuanya mengalihkan pandangan ke arah wajah anak gadis itu. Namun, bacaan ayat Yaasin tetap tidak terhenti. Gadis itu kaget seketika apabila tetamu yang hadir memandang dirinya yang masih lagi bersarungkan pakaian sekolah. Perlahan-lahan dia menggagahkan diri untuk masuk ke dalam villa itu.
Namun, langkahnya terhenti apabila dia terpandang raut wajah yang pucat sedang terbaring kaku di tengah tengah para tetamu yang hadir ketika itu. Beg sandang yang tergantung elok di bahu serta-merta terlucut.
“ Mama!” gadis itu meluru ke arah tubuh kaku milik mamanya.
“ Dik, sabar dik. Banyakkan bersabar.”
Gadis itu sudah meraung-raung memanggil mamanya.
“ Lia, sabar nak. Mama dah pergi dah. Janganlah macam tu nak. Tak baik,” seorang wanita berusia cuba menenangkan anak gadis itu.
“ Apa dah jadi Mak Som? Mak ngah? Mak Su?” gadis yang dipanggil Lia itu mengalihkan pandangannya, memandang wanita-wanita yang dipanggil Mak Som, mak ngah dan mak su itu.
“ Mama Lia lemas dalam kolam tadi sayang. Papa tak sempat selamatkan dia. Dia dah..” sebak wanita itu untuk mengucapkan kata-kata yang seterusnya. Dia tidak sanggup.
“ Lia...?” kedengaran suara garau memanggil. Lia menoleh. Pantas dia memeluk tubuh itu. Sekali lagi dia menangis.
“ Papa.. kenapa? Macam mana boleh jadi macam ni pa?”
“ Papa minta maaf, papa tak sempat selamatkan mama Lia.”
“ Macam mana mama lemas? Mama kan tak pernah pergi kolam tanpa kita pa.”
Lelaki yang digelar papa itu hanya menggelengkan kepalanya. Dia juga tidak mengerti.
“ Lia dah balik?”
   Lia mendongak. Dia mengesat air matanya. Entah mengapa dia tidak suka dengan kehadiran wanita itu. Semenjak kali pertama wanita itu menjejakkan kakinya ke rumah mereka, dia memang kurang senang dengan wanita itu sehingga kini.
“ Aunty yang buat mama macam tu kan? Jawab aunty!”
Papa beristigfar melihat anak gadis itu menuduh wanita itu. “ Lia, kenapa cakap macam tu kat aunty? Tak baik tuduh macam tu. Lia tak ada bukti pun. Nanti jadi fitnah Lia.”
“ Memang Lia tak ada bukti. Memang Lia tuduh sebab memang dia yang buat papa. Lia yakin! Dah tak ada orang lain lagi dalam rumah ni papa. Dia ni! Dia ni pembunuh!” Lia menuding jari ke arah wanita itu yang nyata terperanjat dengan tuduhan gadis itu.
“ Lia...”
“ Pa, percayalah Lia. Memang dia ni yang bunuh mama!”
“ Lia...”
“ Kau ni pembunuh! Kau bunuh mama aku!” gadis itu meraung raung sambil menolak tubuh wanita di hadapannya. Mak su dan Mak som yang melihat sudah gelisah. Lia sepertinya sudah hilang akal!
Pang!!! Sebuah tamparan hinggap di pipi Lia.
“ Along!” Mak su menarik Lia yang terkedu itu ke dalam pelukan.
“ Papa tak suka Lia macam ni. Please, control yourself! Bukan Lia seorang sahaja yang sedang bersedih sekarang ni. Semua orang dalam rumah ni rasa perasaan yang sama!”
“Abang Amsyar, janganlah marah budak tu. Biasalah tu. Budak-budak. Tak apalah, saya naik dulu. Mungkin kehadiran saya ni mengganggu,” ujar wanita itu sambil tersenyum pahit.
Amsyar mengeluh sambil meraup wajahnya.
“ Abang minta maaf Ina.”
Salina hanya mengangguk sebelum dia beredar naik ke atas.
Lia mengetap bibir, menahan geram. Dia tahu wanita itu hanya berpura-pura baik di hadapan semua orang. Dia memeluk erat tubuh kecil milik mak sunya itu. Melepaskan kesedihannya. Ibu kesayangannya sudah pergi!
 
DOOM!! Daun pintu dihempas. Salina mengetap bibirnya yang dicalit dengan gincu merah. Perlahan-lahan dia menuju ke jendela yang terbuka luas, melihat kerenah tetamu-tetamu yang hadir. Tiba-tiba matanya menangkap susuk tubuh gadis yang dikenalinya. Pantas riak wajahnya berubah menjadi kelat.
“ Boleh tahan jugak anak dia ni. Ikut aku tadi, nak aje aku cilikan mulut dia tu!”
Salina berpeluk tubuh. Seketika kemudian, bibirnya menguntum senyuman sinis.
“ Tapi biarlah. Apa yang penting aku dah dapat apa yang aku nak,” Salina memandang cincin emas di tangannya.
“ Bukan cincin ni aje jadi milik aku nanti. Tapi semua ni... semua ni akan jadi milik aku!” Ujar Salina angkuh sebelum dia tergelak dengan penuh keangkuhan dan keazaman.



Bab 1


“ Nah!” sebuah bungkusan hadiah berbalut dihulurkan kepada Emilia yang sibuk mengelap gelas-gelas yang baru siap dibilas.
                Emilia hanya mengerling sekilas sebelum dia menyambung kerjanya itu. Malas mengambil tahu.
                “ Amboi kau, sombong betul!”

                “ Sekali lagi?” pekik gadis yang entah datang dari mana. Dia mengambil hadiah itu dari tangan jejaka yang memegang hadiah itu.