“ Awak ni pakcik dia?” soal Lidya kurang percaya. Sambil itu matanya memandang Rifqi dari atas ke bawah, membuatkan Rifqi kurang selesa.
Rifqi berpeluk tubuh melihat gadis di hadapannya. Ciss, tengok orang macam nak telan aje, gila punya perempuan! Kutuk Rifqi di dalam hatinya. Dia menyandarkan tubuhnya di keretanya. Matanya membalas pandangan tajam milik Lidya, tidak mahu mengalah.
“ Habis tu kenapa? Ada masalah ke?” soal Rifqi kasar.
Lidya menjuihkan bibir. Macam manalah lelaki teruk ni boleh jadi pak cik kepada Izzati yang comel dan baik ni? Bagai langit dengan bumi, jauh benar bezanya!
“ Macam tak percaya yang awak ni uncle Izzati. Izzati ni baik orangnya, tak macam orang tu, menyebalkan hati aje!” ujar Lidya sambil memandang ke arah lain.
Rifqi yang mendengar kata- kata Lidya tercengang sebentar. Terasa panas pula telinganya mendengar kata- kata yang baru keluar dari bibir gadis itu. Harap muka aje lawa, tapi mulut tak ada insurans! Rifqi menarik nafas sebelum dia melepaskannya.
“ Haii, Zati, nanti kat sekolah jangan pulak terikut- ikut perangai cikgu Zati ya? Yang baik kita ambil, yang buruk kita buang,” ujar Rifqi selamba. Perkataan ‘ buruk’ sengaja ditekan.
Izzati sudah terkulat- kulat mendengar kata- kata kiasan cikgunya dan pak ciknya. Masih tidak memahami apakah maksud mereka yang sebenarnya. Kepala yang tidak gatal itu digaru- garu, menunjukkan dirinya yang sedang bingung.
“ Macamlah orang yang sedang bercakap tu baik sangat,” gerutu Lidya namun cukup kuat untuk didengari oleh Rifqi.
“ Eh, mestilah. Kalau tak, tak adanya anak buah aku ni baik macam yang kau cakapkan tadi,” ujar Rifqi sambil tersenyum sinis.
Lidya mengetap bibirnya, geram dengan pemuda yang tidak habis- habis menyusahkan dia.
“ Awak, awak jangan lupa ya yang awak tu ada hutang dengan saya,” ujar Lidya, saja ingin mengenakan pemuda itu. Biar tahu rasa!
Berkerut dahi Rifqi mendengar kata- kata Lidya. Hutang? Bila masa pulak dia berhutang ni?
Lidya yang melihat dahi Rifqi sudah berkerut, menghela nafas sebentar.
“ Kan hari tu awak minta tolong saya untuk menyamar jadi girlfriend awak, dah lupa ke?”
Rifqi terkedu. Spontan, peristiwa hari itu muncul di ingatannya. Laa.. dia rupanya! Patutlah rasa macam pernah jumpa, getus hati kecilnya. Tergeleng- geleng Rifqi dibuatnya. Dia tersenyum sinis.
“ Okay, okay. Hutang kan?” Rifqi menyeluk poketnya, mengambil dompet. Kemudian dia mengeluarkan beberapa keping not wang ringgit sebelum dia mencapai tangan Lidya.
“ Eh, apa ni? Lepaslah!” Lidya cuba melepaskan tangannya. Namun tanpa disangka- sangka, Rifqi meletakkan wang ringgit itu di tangannya.
“ Nah, langsai hutang aku.”
Lidya mengetap bibirnya.
“ Awak ingat semua boleh bayar dengan wang ke?”
Rifqi menjongketkan keningnya.
“ Kenapa? Tak cukup lagi ke?” soal Rifqi sinis.
Lidya tergelak kecil, namun agak sinis pada pendengaran Rifqi. Dia menghampiri Rifqi lalu dia menghulurkan kembali wang itu.
“ Dasar anak orang kaya. Tak pernah nak fikir perasaan orang lain. Lepas tu ingat boleh bayar semua dengan wang ringgit. Biarpun saya ni orang kebanyakan, tapi saya ada harga diri. Dan saya tak perlukan wang awak.”
Rifqi tergamam. Perlahan- lahan dia mengambil wang itu.
“ Terima kasih ajelah atas layanan baik awak ni,” ujar Lidya sinis sebelum dia masuk ke dalam keretanya. Keretanya yang sudah kemek itu tidak lagi dipedulikan. Sakit sungguh hatinya dengan sikap Rifqi yang sombong itu.
Izzati terpinga- pinga melihat Rifqi dan Lidya bertelingkah. Bertambah bingung apabila Lidya meninggalkan mereka begitu sahaja. Dia menoleh, melihat wajah Rifqi.
“ Uncle?”
Rifqi menundukkan wajahnya, memandang Izzati yang yang tingginya baru paras pahanya. Dia mengukir senyuman.
“ Ya?”
“ Kenapa uncle gaduh dengan cikgu?” soal Izzati polos.
“ Err… ini hal orang dewasa Zati. Zati tak perlu tahu okay? Sekarang ni kita kena pergi sekolah, hantar Zati. Zati dah terlewat ni,” ujar Rifqi seraya mendukung Izzati dan membuka pintu keretanya.
“ Okay,” jawab Izzati sepatah.
Rifqi tersenyum nipis. Mujurlah anak kecil itu tidak banyak bertanya. Kalau tidak, dia sendiripun tidak tahu bagaimana dia akan menerangkannya.
Izzati diletakkan di sebelah tempat pemandu sebelum dia memboloskan dirinya ke tempat pemandu. Setelah menghidupkan enjin kereta, dia memecut laju keretanya ke jalan raya. Entah mengapa, dia terasa semacam setelah mendengar kata- kata Lidya tadi. Rasa bersalahkah dia?
*** *** *** *** *** **** ****
DATIN AFRAH tersenyum lebar melihat juadah yang sudah terhidang di atas meja makan. Hatinya puas melihat pelbagai jenis hidangan yang tersedia. Nanti tidaklah dia akan dikatakan kedekut. Lagipun, kalau boleh dia ingin memberikan layanan yang baik untuk tetamunya nanti.
Dia menoleh melihat pembantu rumah yang sibuk menguruskan rumah. Perlahan- lahan dia menghampiri pembantu rumah itu.
“ Err.. yang ni tukarkan pergi kat sana ya? Kalau letak kat sini, macam nampak semak pulak,” komen Datin Afrah.
Pembantu rumah itu sekadar mengangguk sebelum dia mengangkat pasu bunga itu ke arah yang ditunjukkan oleh majikannya, Datin Afrah.
Datin Afrah tersenyum sebelum dia mendapatkan suaminya, Dato’ Zikri yang sedang leka membaca akhbar di sofa. Dia melabuhkan punggung di sebelah Dato’ Zikri.
“ Eh, abang ni. Bila nak tukar baju?” soal Datin Afrah.
Dato’ Zikri mengerling sebelum dia menyambung pembacaannya semula, tanpa menjawab soalan isterinya tadi.
Datin Afrah mencebik.
“ Abang, saya tanya ni. Bila abang nak tukar baju?” soal Datin Afrah sedikit geram kerana soalannya tidak berjawab.
“ Haiii, pakai jelah baju ni, apa salahnya.”
Membulat mata Datin Afrah mendengar jawapan Dato’ Zikri. Akhbar di tangan Dato’ Zikri dirampas.
“ Abang ni, takkan nak pakai macam ni? Malulah sikit. Kan yang nak datang tu bakal besan kita,” ujar Datin Afrah.
Dato’ Zikri mengerutkan dahinya.
“ Besan? Maksud kamu ni apa?”
Datin Afrah tersenyum.
“ Yalah, kan si Ally tu tak lama lagi akan jadi menantu kita.”
Dato’ Zikri sekadar menggelengkan kepalanya. Haii, belum apa- apa lagi dah berangan isteri aku ni, getus hatinya.
“ Kamu ni, yakin sangat. Rifqi tu memang nak kahwin ke dengan si Aleeya tu?” soal Dato’ Zikri selamba sebelum dia mencapai kembali akhbar di tangan isterinya itu.
Datin Afrah terkulat- kulat sebentar.
“ Err… tak pastilah pulak tapi takkanlah Rifqi nak lepaskan gadis yang baik macam Ally tu,” ujar Datin Afrah acuh tak acuh. Kakinya disilang sebentar.
“ Hmm… yalah Afrah oii. Macam kamu tak kenal Rifqi yang keras kepala tu. Dah dia tak suka tu, tak payahlah nak paksa. Ni abang tengok kamu ni, hampir setiap hari nak kejar dia semata- mata nak cakap pasal Aleeya tu. Abang yang jadi tukang tengok ni pun da rasa muak, inikan si Rifqi tu.”
Datin Afrah mengetap bibirnya. Tidak suka dengan apa yang baru dikatakan oleh suaminya, Dato’ Zikri.
“ Apa abang ni,” gerutu Datin Afrah.
“ Aik, tak betul ke? Kamu kan tahu Rifqi tak sukakan Aleeya tu, buat apalah nak paksa dia lagi?” soal Dato’ Zikri lembut.
“ Mana abang tahu dia tak suka? Abang ada tanya dia ke?” soal Datin Afrah sedikit gagap. Risau mungkin, manalah tahu Rifqi ada meluahkan isi hatinya kepada Dato’ Zikri.
“ Tak adalah sampai ke situ. Tapi kita kan tahu perangai dia tu macam mana. Kalau dia suka sesuatu, dia takkan lepas. Tapi kes Aleeya ni, beribu kali kamu nak cakap pasal dia, mesti Rifqi nak mengelak. Haa… kan nampak sangat dia tak suka tu.”
Datin Afrah sudah tidak terkata. Lalu dia mendiamkan diri. Namun di dalam hatinya, dia tetap ingin menjadikan Aleeya sebagai menantunya. Gadis seperti Aleeya mana boleh dilepaskan begitu sahaja. Bukan mudah untuk mencari gadis seperti itu. Lagipun dengan perangai Rifqi, entah bilalah Rifqi akan mencari pasangannya. Jadi, lebih baik dia yang mencarikan pasangan untuk anaknya, Rifqi.
“ Haa, tu dok fikir apa pulak tu?” soal Dato’ Zikri, memecahkan lamunan isterinya.
“ Mana ada fikir apa-apa,” ujar Datin Afrah.
“ Macamlah abang baru kenal kamu semalam. Kalau kamu masih fikir pasal si Rifqi dengan Aleeya tu, percuma saja. Lebih baik kamu fikir bila kita nak pergi haji. Bukan ke itu lebih baik?”
Datin Afrah merapatkan keningnya.
“ Saya masih sibuklah bang. Tunggulah saya siapkan semua kerja saya dulu, baru kita pergi haji.”
“ Nak tunggu sampai bila? Mati ni tak kenal usia, kita ni yang berkemampuan, rugi sangat bila tak pergi menunaikan haji,” ujar Dato’ Zikri sebelum dia menghirup air kopi di atas meja.
Datin Afrah menghela nafas sebelum dia menganggukkan kepalanya.
“ Yalah bang. Nanti saya usahakan. Saya pun dah lama teringin nak pergi tapi kesibukan tu jadi penghalang.”
“ Hmm, itulah kamu., asyik dengan persatuan aje. Lepas tu sibuk pulak dengan hal Rifqi. Budak tu dah besar, dia tahulah macam mana nak uruskan hal dia. Kita sebagai orang tua ni sepatutnya sokong dia dari belakang.”
“ Yalah, yalah. Saya aje yang salah…” ujar Datin Afrah geram.
“ Eh, ada saya cakap kamu salah? Dahlah, abang nak naik atas dulu. Nanti kalau diorang dah sampai, panggil abang,” ujar Dato’ Zikri sebelum dia bangkit dari duduk.
“ Yalah, nanti saya panggil. Haa, baju tu jangan pulak tak tukar.”
Dato’ Zikri mengehla nafasnya.
“ Hmm, nanti saya tukarlah,” ujar Dato’ Zikri mengalah. Hisy, agaknya Rifqi ni ikut perangai mak dialah ni, keras kepala!
0 comments:
Post a Comment