“ Dah breakfast ke?” soal Rifqi, memecahkan keheningan di antara mereka.
“ Mestilah dah. Kalau tak, nanti Zati sakit perut tau tak?”
Rifqi tersengih mendengar jawapan Izzati. Ya tak ya jugak, getus hati kecilnya. Dia mencubit lembut pipi mulus milik anak buahnya.
“ Amboi, anak buah uncle yang seorang ni, bukan main lagi ek cara dia menjawab.”
Izzati tersengih sambil dia menggaru- garu kepalanya.
“ Uncle dah soal, Zati jawab jelah apa yang patut.”
Rifqi menjongketkan kening. Hmm, yalah tu, bisik hatinya. Dia memusingkan stereng ke kanan untuk membelok. Namun, tanpa disangka- sangka, sebuah kereta berada di hadapannya dan Rifqi yang tidak sempat mengelak, terlanggar belakang kereta itu.
Duummmm!!
Izzati berdebar- debar melihat kejadian yang baru sahaja berlaku. Ini kali pertama dia terlibat di dalam kemalangan, mujur sahaja tidak ada yang cedera. Dia mengurut dadanya bagi menghilangkan rasa gemuruh. Ditoleh pula pandangannya ke arah pakcik bongsunya, Rifqi. Kelihatan wajah Rifqi sudah merah, seolah- olah menahan marah.
Rifqi mengetap bibir. Geram kerana kereta kesayangannya kini mungkin sudah kemek kerana terlanggar kereta lain. Tanpa membuang masa, dia segera membuka pintu kereta dan melihat di depan keretanya. Bulat matanya tatkala dia melihat nombor flat keretanya sedikit hancur. Hmm, tepat sekali sangkaannya. Keretanya sudah kemek!
Dia menarik nafas, cuba meredakan diri yang sudah mula panas. Namun, sia- sia apabila dia terlihat pemandu kereta yang baru sahaja dia terlanggar tadi, masih berada di dalam keretanya. Kemarahan yang mulai reda kian marak kembali. Rifqi menghampiri kereta itu.
Cermin kereta yang gelap itu menyukarkan Rifqi untuk melihat wajah pemandu itu. Entah lelaki atau perempuan, tapi dia tidak peduli. Yang dia tahu kereta kesayangannya itu sudah remuk akibat kejadian tadi. Segera sahaja dia mengetuk cermin kereta itu.
Tiada respon untuk kali pertama. Hmm, takutlah tu! Tahu pulak nak takut ya..
Rifqi menahan sabar, sekali lagi dia mengetuk cermin. Namun, sekali lagi tiada respon. Aik, ini boleh mendatangkan marah ni! Rifqi mula hilang sabar, dia terus mengetuk- ngetuk cermin kereta itu sehinggalah cermin itu mula diturunkan.
“ Kenapa lambat sangat nak bukak cermin ni? Takut ke?” belum pun wajah pemandu kereta itu muncul di mata Rifqi, dia sudah menempelak. Ah, peduli apa dia!
“ Err.. maaflah encik. Tadi saya tengah berbual dalam telefon,” ujar pemandu kereta itu sambil menurunkan cermin tingkap keretanya.
Rifqi tergamam melihat wajah pemandu itu. Seorang perempuan! Manis orangnya, macam pernah dilihat sebelum ini. Tapi… kejap, berbual dalam telefon?
“ Apa? Berbual?!” Bulat mata Rifqi memandang wajah gadis itu.
Perlahan- lahan gadis itu mengangguk.
“ Kau ni gila ke apa? Tak tahu peraturan jalan raya ke, hah?” soal Rifqi kasar.
Bulat mata gadis itu apabila disoal kasar seperti itu.
“ Encik, tolong jangan biadap ya? Saya ni ada perasaan jugak, tahu tak?” entah dari mana datangnya keberanian itu, gadis itu pantas menjawab.
Rifqi tersenyum sinis sambil menggelengkan kepalanya.
“ Akupun ada jugak. Dan sekarang ni, perasaan aku kalau kau nak tahu, tengah marah tahu tak? Tengah marah!” Perkataan marah sengaja ditekan oleh Rifqi.
Gadis itu mengetap bibir. Segera sahaja dia membuka pintu keretanya untuk berhadapan lelaki yang cukup menyebalkan hatinya itu.
Rifqi yang tidak menduga gadis itu akan membuka pintu kereta itu terdorong ke belakang.
“ Aduh!” Rifqi memegang lutut yang terkena pintu kereta gadis itu. Dengan rasa geram, dia memberikan pandangan tajam kepada gadis itu.
“ Awak ingat awak seorang sahaja ke yang tahu marah? Saya pun bolehlah!”
Rifqi menegakkan tubuhnya. Sakit di lutut tadi sudah tidak dipedulikannya lagi.
“ Hey, kalau dah buat salah tu sedarlah diri sikit!” Rifqi bercekak pinggang melihat gadis itu.
Gadis itu tergelak sinis.
“ Siapa yang salah tu?” soal gadis itu.
“ Siapa lagi kalau bukan kau. Kau tahu tak, ayam yang bodoh tu pun lebih tahu nak melintas jalan daripada kau tau,” sindir Rifqi.
Hampir terbelalak mata gadis itu melihat Rifqi. Ayam? Lelaki itu dengan sewenang- wenangnya membandingkan dia dengan ayam! Apakah lelaki itu mengatakan dia lebih bodoh daripada ayam? Oh, ini sudah melampau!
“ Tolong sikit ya, awak jangan nak cakap saya seorang saja. Diri awak tu pun sama jugak okay?” tempelak gadis itu.
Rifqi mengetap gigi, menampakkan rahangnya. Belum pernah dia berjumpa dengan gadis yang begitu ego seperti gadis di hadapannya itu. Sebelum ini, semua gadis yang akan berjumpa dengan dirinya pasti akan cair dengan kekacakkannya. Namun, berbeza pula dengan gadis ini. Gaduh besar adalah!
Rifqi melirik ke arah jam tangannya sebelum dia menoleh ke belakang, melihat anak buahnya yang sedari tadi ditinggalkan berseorangan di dalam kereta. Hampir sahaja dia terlupa yang dia perlu menghantar anak buahnya ke sekolah.
Gadis itu mengambil peluang menilik wajah lelaki itu. Dari tadi dia asyik terfikir, di mana dia pernah terjumpa dengan lelaki ini? Melihat lesung pipit di pipi lelaki itu membuatkan dia terpaku sebentar. Comelnya!
Rifqi segera menoleh, memandang wajah gadis itu.
“ Aku tak kira, yang penting kau kena ganti rugi kereta aku ni!”
Erk, hodoh punya orang! Kutuk gadis itu di dalam hatinya. Percuma dia memuji lelaki tadi.
“ Apa pulak? Bukannya saya salah pun,” ujar gadis itu sedikit bengang.
“ Tak salah kau cakap? Meh sini aku tunjuk,” tanpa berfikir panjang, Rifqi menarik lengan gadis itu menghampiri keretanya yang sudah remuk di bahagian depan.
“ Tengok apa kau dah buat dengan kereta aku ni!” ujar Rifqi geram.
Gadis itu menayangkan muka bodoh.
“ Ingat kereta awak aje ke yang kena? Habis saya punya kereta pulak?”
Rifqi mencebik geram.
“ Peduli apa aku! Ni kereta aku ni, siapa yang nak bayar? Takkan aku nak panggil toyol pulak?”
“ Panggillah. Mana tahu dia ada banyak duit,” ujar gadis itu selamba, membuatkan telinga Rifqi berasap.
“ Hey, kau jangan nak buat aku tinggi darah okay? Dah terang lagi bersuluh, kau yang salah. Aku pun peliklah, macam mana kau boleh dapat lesen kereta ni. Takkan tak tahu tak boleh nak pegang telefon masa memandu? Otak hilang ke mana hah?”
“ Habis awak ikut saya dengan jarak yang dekat tu boleh pulak? Lagipun bukannya saya memandu laju. Perlahan aje tau!” ujar gadis itu sambil bercekak pinggang melihat lelaki yang lebih tinggi daripadanya.
“ Yang aku tahu kat sini, kau kena bayar jugak kerugian aku ni!” ujar Rifqi tegas.
“ Kalau macam tu, awak pun kena ganti rugi jugak kereta saya ni. Sebab kereta saya pun dah kemek jugak. Lagipun, awak yang langgar saya. Kalau saya tak berhati- hati tadi, boleh mati tahu tak?”
Rifqi mengerling gadis itu dengan selamba. Malas mendengar kata- kata gadis itu.
“ Tapi kau masih hidup kan?”
Gadis itu terkesima sebentar dengan kata- kata Rifqi tadi. Kata- kata itu seakan- akan pernah didengari sebelum ini.
“ Awak rupanya!”
Rifqi mengerutkan dahinya. Apa maksud gadis itu? Mereka pernah berjumpa ke?
“ Hei, hei.. apa ni main tuding- tuding jari ni?” ujar Rifqi sambil menepis jari gadis itu.
“ Patutlah dari tadi macam kenal. Dengan perangai awak yang tak sopan ni, barulah saya cam awak.”
Rifqi mencemikkan wajahnya. Ceh, macamlah dia tu sopan sangat! Dia berpeluk tubuh melihat gadis itu. Dia membongkokkan sedikit wajahnya untuk melihat wajah gadis itu. Puas sudah dia memerah ingatannya tetapi dia tetap tidak dapat mengingati, di mana dia pernah terjumpa dengan gadis itu? Belum sempat dia ingin mengeluarkan suara, terdengar suara Izzati menyapa mereka.
“ Cikgu! Uncle!”
Gadis itu menoleh, begitu juga dengan Rifqi. Terperanjat dengan kehadiran Izzati.
Cikgu? Rifqi mengerutkan dahinya.
Uncle? Gadis itu sedkit tergamam.
“ Apa?” soal mereka serentak, saling berpandangan.
*** *** *** *** ****
Tubuh yang tinggi langsing itu segera sahaja disandarkan ke sofa, cuba menikmatinya betapa empuknya sofa itu. Tengkuknya diurut perlahan- lahan bagi menghilangkan rasa letih. Jam tangan dilihat. Ah, sudah berapa jam dia bekerja. Patutlah dia merasa teramat letih.
“ Nah, sapu ubat ni,” ujar Sofi sambil menghulurkan sebotol minyak sapu.
Aleeya mengerutkan dahinya sambil menggelengkan kepalanya.
“ Eee.. minyak apa tu? Kuat betul bau dia, aku tak naklah,” ujar Aleeya sambil menutup hidungnya.
Sofi mendengus melihat gelagat Aleeya.
“ Lantak kaulah,” ujar Sofi sebelum dia menuju ke dapur pantry untuk membancuh air.
Aleeya sekadar mencebikkan bibir melihat Sofi yang sudah hilang dari pandangan. Teringat pula dia akan mesej yang baru masuk sebentar tadi, segera sahaja dia mencapai tas tangan dan menyelongkar isi di dalam untuk mencari telefon bimbitnya yang berwarna pink.
Segera dia membuka mesej di telefon bimbitnya apabila dia sudah menemuinya.
Ally, stakat ni aq xpnh lg npk dia p dating dgn pmpuan len…
Tersenyum lebar Aleeya dibuatnya. Perlahan- lahan dia menganggukkan kepalanya. Hah, kalau macam tu, memang betullah apa yang dia fikirkan selama ini. Rifqi memang tidak mempunyai seseorang yang istimewa di dalam di hatinya. Kalau ada, pasti Rifqi akan selalu keluar untuk bertemu dengan gadis itu. Mana ada pasangan yang tidak pernah berjumpa.
“ Hai, Rifqi.. Rifqi.. awek manalah kau tarik masa tu untuk menipu. Aku tahulah taste kau bukan macam perempuan kelas bawahan tu!” ujar Aleeya sendirian, sinis.
Telefon bimbit yang digenggam dimasukkan kembali ke dalam tas tangannya. Dia mencapai tas tangannya sambil bangaun dari duduknya. Melihat mesej tadi membuatkan keletihan tadi semua hilang. Bibirnya tidak henti- henti dari terus tersenyum.
“ Sofi, aku nak keluar. Kalu jagakan butik ni okay?” jerit Aleeya sebelum dia menuju ke pintu.
“ Okay!” jawab Sofi sedikit tinggi.
Aleeya membuka pintu keretanya sebelum dia memboloskan dirinya ke dalam. Rifqi, tak kiralah apa yang akan terkadi, kau tetap akan jadi milik aku! Hanya milik aku! Aleeya berbisik di dalam hatinya, seolah- olah berazam.
Belum sempat dia memasukkan gear, telefon bimbitnya berdering meminta diangkat. Aleeya mengerutkan dahinya sambil menyeluk tangannya ke dalam tas tangan. Butang hijau segera ditekan apabila dia melihat nama di skrin telefon bimbitnya.
“ Aunty, lama tak dengar khabar!”
Datin Afrah tersenyum di talian.
“ Allylah yang busy,” ujar Datin Afrah.
Aleeya tergelak kecil mendengarkan kata- kata Datin Afrah.
“ Ya ke? Sorry aunty…”
“ Erm, takpelah sayang. Ni, aunty nak jemput Ally datang ke rumah. Aunty nak buat makan- makan kat rumah hari ini. Nanti datanglah ya? Lama dah Ally tak datang ke rumah aunty ni, aunty dah rindu pulak.”
Aleeya tersenyum lebar sambil mengangguk.
“ Pasti aunty. Ally takkan menolak kalau dah aunty yang ajak.”
“ Sebab tulah aunty sayang sangat kat Ally ni, tak tahulah napa Rifqi tak nampak keistimewaan Ally ni,” ujar Datin Afrah sebelum dia mengeluh berat.
Aleeya tersenyum nipis.
“ Its okay aunty. Ally tak kisah pun. Tak lama lagi hati dia akan terbuka untuk Ally, aunty tak perlu risau k?”
“ Erm, yalah. Aunty pun harap macam tu jugak. Aunty teringin sangat nak jadikan Ally sebagai menantu aunty. Kebetulan pulak Ally dah lama suka kat Rifqi.”
“ Nak buat macam mana aunty. Tapi aunty tak perlu risau, Ally akan cuba mendampingi Rifqi sampai dia buka mata dia luas- luas, dan cintakan Ally.”
“ Okay Ally. Aunty akan doakan. Nanti Ally datang rumah tau, bawak family sekali.”
“ Okay aunty,” jawab Aleeya sebelum dia menekan butang merah. Tersungging senyuman sinis di bibirnya. Hah, mana mungkin dia akan menolak jemputan Datin Afrah. Pucuk dicita, ulam mendatang!
Aleeya memasukkan gear sebelum dia menekan minyak untuk bergerak. Memandangkan dia akan ke rumah Datin Afrah, dia perlu mendandan dirinya untuk menjadi lebih cantik. Dia akan pastikan mata Rifqi tidak berkelip memandang dirinya nanti.